2 March 2015

Pengenalan : Sejarah PPD Hilir Perak

Sejarah penubuhan pusat pentadbiran pendidikan daerah bermula pada sekitar tahun 60an. Pejabat Pengelola Sekolah-Sekolah Kebangsaan mula beroperasi pada awal 1960 yang ketika itu merupakan satu-satunya pusat pentadbiran terhadap sekolah-sekolah kebangsaan. Pada masa itu, ada antara Pejabat Pengelola Sekolah Daerah melangkaui beberapa daerah pentadbiran. Ketika itu, jawatan pegawai pendidikan selaku Ketua Pentadbir Pendidikan Daerah disebut Pegawai Pengelola Sekolah. Beliau dibantu oleh beberapa orang Penolong Pengelola.

Pada tahun 1982, berlaku penstrukturan semula Pejabat Pendidikan Daerah. Penstrukturan semula Pejabat Pendidikan Daerah Negeri Perak ketika itu melibatkan perubahan jawatan-jawatan. Pejabat Pendidikan  Daerah diketuai oleh Pegawai Pendidikan Daerah dibantu oleh seorang Penolong Pegawai Pendidikan (Menengah) dan seorang Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Rendah) serta dua orang Penyelia (Menengah dan Rendah).

Seterusnya, pada tahun 1995, sekali lagi berlaku penstrukturan semula Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) / Pejabat Pendidikan Bahagian (PPB). Tiga unit diwujudkan untuk membantu dan melicinkan jentera pentadbiran, iaitu Unit Pengurusan Sekolah, Unit Pengurusan AKademik serta Unit Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan dan Khidmat Sokongan. Ekoran daripada itu, Pegawai Pendidikan Daerah dibantu oleh tiga orang Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah mengikut unit pengurusan berkenaan. Jawatan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Rendah) dikekalkan. Mulai Januari 2004, seorang Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah bidang pengurusan pembangunan dan bekalan diwujudkan.

Pada peringkat awal Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hilir Perak beroperasi di Bangunan Persekutuan, Jalan Speedy, Teluk Intan dan seterusnya berpindah bersebelahan dengan SK Seri Intan, Jalan Raja, Teluk Intan. Kini, PPD bertempat di bangunan bersebelahan dengan Pejabat Veterinar, Jalan Maharajalela, Teluk Intan. Diketuai oleh Pegawai Pendidikan Daerah dan dibantu oleh Timbalan PPD dan empat orang Ketua Unit. PPD bertindak sebagai penghubung antara Jabatan Pendidikan Perak (JPN) dengan sekolah untuk tujuan pengawalan dan pengurusan yang efektif.